The Batman (2022) – Review Filem

The Batman (2022) – Review Filem
PENGARAH: Matt Reeves
LAKON LAYAR: Matt Reeves, Peter Craig
PELAKON: Robert Pattinson, Zoë Kravitz, Jeffrey Wright, Paul Dano, Collin Farrell, John Torturro, Andy Serkis, Peter Sarsgaard.
GENRE: Drama, Thriller, Superhero
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)

DURASI: 176 minit

Sinopsis:

Batman meneroka sisi gelap Gotham City apabila seorang pembunuh sadis bergelar The Riddler telah meninggalkan jejak pembunuhan orang-orang ternama di bandar itu. Apabila bukti mula membawa lebih dekat kepada masa silam Bruce Wayne dan skala rancangan si pembunuh menjadi lebih jelas, dia mesti memulakan kerjasama, membuka topeng si pembunuh dan membawa keadilan kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang telah lama melanda bandaraya itu.

Baiklah, pertama sekali aku nak tekankan sebelum menonton filem ini, aku memang ada meletakkan harapan yang tinggi kerana kebolehan yang terbukti dari pengarah Matt Reeves serta barisan pelakon yang mantap, terutama trio Robert Pattinson, Jeffrey Wright dan Paul Dano. Dan perkara paling utama yang menjadi kerisauan aku terhadap filem ini adalah jumlah durasinya yang terlalu panjang iaitu selama 2 jam 56 minit. Bagi aku untuk sebuah filem noir bercorak drama detektif sebegini akan menghadapi masalah dengan durasi sepanjang begini, untuk durasi hampir 3 jam ini sepatutnya diberikan pada filem berbentuk epik dan penuh aksi. Namun selepas menonton filem The Batman ini, durasi hampir 3 jam itu tidak terasa lama pula. Ini kerana perjalanan ceritanya sangat halus dan dihasilkan penuh terperinci, dan lebih lucu bila aku rasakan durasi panjang sebegini pun macam tidak cukup pula pendedahan-pendedahan yang diberikan.

Perlu ditekankan juga filem ini sangat berlainan dengan filem superhero yang lain, malahan untuk siri filem Batman sebelum-sebelum ini juga, filem The Batman kali ini tidak terlalu menekankan aspek filem superhero. Jika kebanyakkan filem-filem superhero lain akan mempunyai sub-genrenya yang tersendiri, tetapi untuk filem The Batman ini, tema superhero itu yang dijadikan sebagai sub-genre. Ini kerana genre dan tema utama untuk filem ini adalah neo noir dan drama penyiasatan yang diselubungi dengan elemen superhero serta buku komik. Malahan dari luaran filem ini kelihatan lebih realistik dan berpijak di bumi yang nyata, namun masih lagi menerapkan elemen Batman yang klasik dari buku komik dan siri animasi watak ikonik ini. Senang cerita dari segi lahiriahnya filem The Batman ini memang cukup rencahnya untuk menjadikan ianya sebuah filem yang mengangkat watak Batman dengan lebih tinggi lagi.

Filem ini banyak diinspirasikan dari filem-filem crime thriller seperti filem Se7en (1995) dan Zodiac (2007), kedua-duanya arahan David Fincher. Malahan semangat yang cuba dibawakan dalam filem ini juga mempunyai identiti yang hampir sama dengan filem-filem ini. Dengan tema dan penceritaan gelap yang disampaikan, bertepatan pula dengan lakonan-lakonan mantap dari barisan pelakon. Robert Pattinson cemerlang sebagai Batman, dan boleh dikatakan beliau membawa watak Batman hampir 80% dari keseluruhan filem berbanding watak Bruce Wayne. Malahan watak Bruce Wayne itu sendiri pun tiada beza dengan perwatakan Batman yang murung dan emo.

Sekalipun Robert cemerlang, tapi beliau bukanlah yang terpaling hebat sekali dalam filem ini. Yang itu aku berikan kepada Zoë Kravitz sebagai Selina Kyle/Catwoman dan Jeffrey Wright sebagai James Gordon. Zoë sangat memberangsangkan sebagai Selina Kyle dan mempunyai plotnya yang tersendiri serta menyerlah dan tidak terlalu mengaburi bayangan Batman Pattinson. Begitu juga Jeffrey Wright sebagai Gordon, polis yang dipercayai Batman, mampu untuk mengangkat watak ini setanding dan seiring dengan Batman. Melihat watak Gordon dan Batman ini seolah melihat watak detektif otai dan muda lakonan Morgan Freeman dan Brad Pitt dalam filem Se7en. Walaupun Collin Farrell mendapat sinaran sebagai The Penguin dan dimomokkan sebagai antara individu penting dalam filem ini, tetapi watak dari John Torturro iaitu Carmine Falcone mempunyai lebih peranan. Mungkin watak Penguin ini ditunjukkan sebagai sebuah watak yang akan berkembang dan menjadi ancaman untuk filem selepas ini.

Jika bercakap tentang Paul Dano pula, aku pada mulanya agak skeptikal dengan pilihan dia sebagai The Riddler, namun aku tahu Paul adalah seorang pelakon yang sangat berbakat. Untuk filem ini Paul telah menjayakan watak The Riddler itu menjadi wataknya yang tersendiri, menggerunkan dan dalam waktu yang sama mampu mewujudkan satu persefahaman antara watak ini dengan realiti dunia sekarang. Paul memerankan watak yang berbeza sewaktu menjadi The Riddler dan selepas dirinya tidak memakai topeng villain ini. Cuma aku mengharapkan ada interaksi yang lebih mendalam antara watak The Riddler ini dengan Batman, yang aku rasakan merupakan antara kekurangan dalam filem ini.

Sekalipun banyak perkara yang bagus dalam filem The Batman ini, ianya masih tidak lari dari beberapa kelemahan. Antara yang paling utama adalah seperti yang aku katakan tadi, durasinya yang hampir 3 jam, sekalipun tidak terlalu terasa tetapi aku rasakan dibazirkan dengan shot-shot yang terlalu panjang dan moody, dan tidak disertakan dengan pendedahan-pendedahan yang cukup. Dalam tempoh 3 jam itu sepatutnya ada lebih lagi yang boleh diberikan, tetapi sayangnya ianya dibazirkan dengan shot beserta skor muzik yang berulang-ulang dari awal hingga habis filem. Jangan salah faham, aku tak ada masalah dengan skor muziknya dan sinematografi filem ini, malahan aku rasakan itu juga antara elemen terkuat dari filem ini. Cemerlang dari Michael Giacchino yang membikin skor yang lunak serta Greg Fraiser dalam mengadaptasi Gotham City dengan cukup indah dalam sinematografi neo noirnya.

Permulaan filem ini bergerak dengan lancar, sehinggalah ke pertengahan yang terlalu meleret kerana memfokuskan pada babak berteka-teki antara Batman dengan The Riddler. Permasalahan paling utama yang aku rasakan adalah pada penghujung babak yang memfokuskan Batman menjadi simbol harapan untuk rakyat Gotham. Aku rasa babak pengakhiran yang penuh dengan aksi itu mungkin boleh diperhalusi lagi. Ramai yang mungkin akan membuatkan perbandingan antara filem The Batman ini dengan filem The Dark Knight arahan Christopher Nolan. Perkara ini tidak dapat di elak kerana Nolan telah membuktikan beliau berjaya memberikan trilogi The Dark Knight yang sangat cemerlang dan mantap. Bagi aku pula, aku lebih suka membandingkan filem The Batman ini dengan filem Batman Begins (2005) di mana aku rasakan Batman Begins lebih bagus berbanding The Batman. Ini kerana perbezaan dalam penceritaan naratif antara kedua-dua filem ini, tetapi aku faham kerana Matt Reeves cuba menyampaikan sebuah filem crime thriller, bukan filem superhero origin story.

Jadi filem The Batman ini sekalipun tidak dapat menandingi filem Batman versi Nolan, ianya masih mampu berdiri dengan sendirinya dan akan berkembang dengan jalan cerita in-universe The Batman yang bakal didatangkan dengan sekuel-sekuel yang dinanti-nantikan.

“Oh you’re really not as smart as I thought you were.” – The Riddler

1 Comment

  1. Moonaremars

    Seolah Fans service jugak, lebih batman daripada watak bruce wayne.

Leave a Reply