Isu Pengurusan PBAKL 2024

isu pengurusan pbakl 2024

Isu Pengurusan PBAKL 2024 dan Tatakelola Tempahan PBAKL 2024: Kenyataan Balas, Bantahan dan Tuntutan

Diemel kepada:mohdkhair@moe.gov.my, mabopahq@gmail.com.Salam sejahtera.

Pada 19 Disember 2023, Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (JK PBAKL 2024) telah mengeluarkan kenyataan media tidak bertajuk mengenai penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Secara umumnya, kenyataan media JK PBAKL 2024 yang tidak bertajuk itu sekadar “lip service” untuk menyatakan bahawa tiada apa-apa isu besar yang sedang berlaku dan tiada apa-apa tindakan drastik yang perlu dibuat.

Daripada kenyataan tidak bertajuk itu juga, kami dapati intipati utama bantahan yang kami kemukakan secara berasingan di pelantar media sosial kami masing-masing seperti tidak dipedulikan.

Kami juga berasa seperti disuruh “pandai-pandailah tanggung sendiri kerja pemasaran untuk memastikan lebih ramai orang datang ke reruai jualan” jika ditakdirkan tempatnya terperosok di belakang dewan dan jauh daripada trafik pelanggan.

Sungguhpun pada akhir kenyataan tidak bertajuk itu disebut tentang “DIALOG KE ARAH PBAKL YANG LEBIH BAIK” yang bakal diadakan pada 29 Disember 2023 di pejabat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) untuk perbincangan lanjut, akan tetapi intipati kenyataan tidak bertajuk itu seolah-olah menunjukkan bahawa sudah ada “pre-determined outcome of the dialogue”, iaitu:
“Tak perlulah mempermasalahkan pengurusan dan tatakelola PBAKL 2024. Pakat-pakat ambillah apa yang telah ditambah itu.”

Oleh sebab inilah, sekarang kami ke hadapan sekali lagi mengeluarkan kenyataan balas iaitu – bantahan dan tuntutan ini. Kini kami bersama-sama dengan kumpulan peserta dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam PBAKL, yang amat-amat prihatin terhadap isu pengurusan dan tatakelola PBAKL 2024.

Bantahan

Butiran bantahan kami secara bersepadu adalah seperti di bawah:

  • Tiada langsung makluman awal dan rasmi untuk tarikh pembukaan tempahan pada 15/12/2023 daripada saluran hebahan dan emel rasmi MABOPA
  • Tiada makluman awal dan rasmi mengenai kenaikan harga sewaan tapak dari RM3500 menjadi RM3750 untuk ahli.
  • Maklumat yang diterima ialah bukan daripada saluran rasmi (iaitu melalui rakan-rakan penerbit dan siaran media sosial orang persendirian) bahawa tempahan tapak PBAKL 2024 akan dibuka pada 15/12/2023
  • Isu TERBESAR di sini ialah, apabila kami bergegas untuk membuat tempahan pada tarikh 15/12/2023, kami DIGEMPARKAN bahawa hampir keseluruhan tapak telah ditempah lebih awal (lihat gambar seperti dalam lampiran – banyak tempat yang telah dilorek dengan lukisan komputer).
  • Soalnya, kenapakah tempahan tapak sebelum 15/12/2023 boleh dibuat dan tapak-tapak yang telah ditempah awal itu didapati berada pada kedudukan yang strategik dan “traffic advantage”, berbanding dengan tapak-tapak terperosok di belakang yang masih kosong untuk ditempah pada tarikh pembukaan rasmi tempahan.
  • Pada 15/12/2023 tempoh hari juga, kami diminta untuk membuat bayaran penuh, sedangkan amalan sebelum ini ialah bayaran deposit sebanyak 50%. Kenapakah perlu melangsaikan bayaran 100%? Sekali lagi tiada apa-apa makluman rasmi awal mengenai hal ini.

Cadangan Isu Pengurusan PBAKL 2024

Oleh itu, daripada senarai bantahan di atas, kami ingin mengusulkan cadangan dan tuntutan berikut:

KETELUSAN: MAKLUMAN RASMI DAN TERBUKA

  1. Menyatakan secara rasmi dan terbuka tentang tarikh-tarikh penting tempahan tapak PBAKL supaya maklumat ini sampai secara adil kepada semua pihak
  2. Menyatakan secara rasmi dan terbuka mengenai harga tapak supaya tidak berlaku kejutan kenaikan harga
  3. Menyatakan secara rasmi dan terbuka berapa banyakkah tapak dibuka untuk tempahan
  4. Menyatakan perbezaan harga jika tapak itu terletak di tempat yang kurang tumpuan pengunjung.
  5. Menyatakan bakal penempah perlu menyiapkan deposit 50% dan perlu melangsaikannya dalam tempoh yang dimaklumkan lebih awal secara rasmi dan terbuka

KEADILAN: PENYUSUNAN SEMULA TAPAK PBAKL 2024

  1. Kami menuntut supaya tempahan sebelum tarikh tempahan dibuka pada 15/12/2023 dibatalkan. Ini jelas mencalarkan integriti JK PBAKL kerana telah mengundang rasa tidak puas hati, terzalimi dan amarah para peserta PBAKL2024 yang menempah mengikut saluran dan tarikh yang betul.
  2. Kami menuntut supaya pengagihan tapak dibuat semula secara undian semula.
  3. Kami menuntut supaya mengadakan suatu majlis pengundian tapak PBAKL2024. Pada majlis ini undian semula perlu dibuat secara terbuka dan disaksikan oleh para peserta yang telah berdaftar.

Sekiranya hal ini tidak diambil perhatian oleh JK PBAKL, kami bakal memanjangkan bantahan kami ini ke peringkat Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan ejensi penguatkuasa (contohnya seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)).

Ini supaya maruah, amanah, integriti kemajuan industri buku negara dapat dipelihara.

Lebih-lebih oleh mereka yang telah mengamanahkan diri untuk bertanggungjawab menjaganya.

Sekian

Yang benar,

Pelita Dhihin
Kasi Terbit
Terbit Sendiri
Prolog Media
Akademi Jawi Malaysia
Pujangga Baru
Taman Pustaka
Rabak Lit
Toko Buku Rakyat
Tokosue
Dubook Press
Nuhabooks
Zain Bookhouse
Pustaka Islamiyah Holdings
Nur Innai
Alim Rabbani
Penerbitan Hayrat
Toko Buku Azbakia
Himpunan Keilmuan Muslim
Pustaka Taybah
Bukuku Press

Sokongan pada 22 Dis 2023
Jejak Tarbiah
Nik Nur Madihah
Baytul Hikma
Hijjaz Records Publishing
Bilek Buku & Pustaka Buku Warisan
Khazanah Fathaniyah

Mohon kongsi tanda sokongan. Penerbit mahu bersama dalam tuntutan ini, mohon pm saya.

Saya tidak setuju saranan memboikot PBAKL sama ada daripada pembaca atau pemain industri.

PBAKL adalah sebuah acara buku tahunan terbesar yang jualannya berpotensi menjana pendapatan antara dua bulan sehingga setahun kepada penerbit dan pengedar yang menyertainya.

Tidak keterlaluan mengatakan ia adalah nyawa dan nafas industri buku.

Bagi Pelita Dhihin, PBAKL adalah ruang kami belajar dan membesar. Mula-mula ambil dua reruai secara berkongsi pada 2016 sehinggalah enam reruai terkini.

Daripada duit jualan di situlah kami perlahan-lahan berkembang sehingga dapat membuka kedai buku sekarang ini.

Kalau diboikot, adakah ada tawaran alternatif yang setimpal dengan PBAKL? Adakah peluang lain untuk kedai buku mandiri seperti kami boleh terus bertahan?

Sehinggga kini, tidak ada pesta buku alternatif yang menyamai skala PBAKL, siapapun penganjurnya.

Apa yang kita persoalkan ialah tatakelolanya. Tatakelola boleh direformasikan dengan kesungguhan dan kejujuran. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Saya follow juga kontroversi PBAKL2024

walaupun tak berniaga buku tapi hanya sebagai pengunjung PBAKL sejak 1998 sampai 2023, dan belum pernah terlepas lagi rasanya. Kecuali 2009-2013.

Saya pun baru tahu rupanya En. Mohd Khair orang kuat PBAKL. Saya kenal beliau ketika beliau menerajui ITBM lagi. Ada sedikit urusan penerbitan buku juga dengan ITBM pada masa itu.

Ok nah, sekarang beliau memberi maklumbalas tentang kontroversi yang melanda. Saya salin semula komen beliau di posting Ahmad Saifuddin Amran tanpa edit.

Silalah emel kepada beliau sebarang cadangan, usul, kritikan dan apa-apa yang tak puas hati. Malaysia tak besar mana. Beliau mudah diajak berbincang sefaham saya. isu pengurusan pbakl 2024.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply