Servant Season 3 (2022) – Review Siri Apple TV+

Servant Season 3 (2022) – Review Siri Apple TV+
JUMLAH EPISOD: 10 Episod
CIPTAAN: Tony Basgallop
PELAKON: Lauren Ambrose, Toby Kebbell, Nell Tiger Free, Rupert Grint
BAHASA: Inggeris (US)
Genre: Thriller, Supernatural

DURASI: 25-36 minit setiap episod

Sinopsis:

Selepas membunuh ‘makciknya’ dalam musim kedua yang lalu, Leanne kini semakin yakin dengan kuasanya sendiri dan mula mengumpul pengikutnya tersendiri dan cuba menentang kumpulan kultus The Church of Lesser Saints. Dorothy juga semakin sedar akan kekacauan yang muncul dalam diri Leanne dan mula menyedari bagaiman Leanne telah mengawal isi rumahnya.

Untuk musim ketiga kali ini, siri Servant ini masih lagi mengekalkan elemen-elemen misteri dengan babak-babak yang perlahan serta lebih memfokuskan pada ciri-ciri tersembunyi dan tidak jelas melalui syot-syot dan simbolism dalam setiap sekuens. Siri ini masih lagi tidak secara jelas menceritakan apa yang terjadi dan apa sebenarnya kuasa Leanne. Ini salah satu keistimewaan siri ini kerana eksposisinya tidak didedahkan secara lahiriah.

Apa yang menarik untuk musim ini adalah bagaimana watak Dorothy itu akhirnya tersedar dengan tindak tanduk Leanne dan mula berkonflik dengan watak ini untuk mewujudkan lebih banyak suasana tertekan. Tapi lebih ironi lagi walaupun Dorothy tidak mempercayai Leanne, dia tetap tidak sedar akan kejadian yang membabitkan kematian anaknya, Jericho. Perkara itu menjadi satu tema yang berlanjutan dari musim pertama untuk menunjukkan bagaimana tidak stabilnya mental Dorothy ini dan ianya digunakan untuk musim ini sebagai satu titik punca pergelutan antara Dorothy dengan Leanne dan keluarganya.

Elemen seram dan ngeri ditambah dalam musim ini untuk mewujudkan impak yang lebih lagi berbanding musim sebelum ini. Hal ini untuk menunjukkan bagaimana kuasa Leanne itu semakin lama semakin kuat dan mampu menimbulkan kegerunan di hati penonton. Namun sekali lagi, walaupun ada babak seram dan ngeri, ianya ditunjukkan secara halus dan lemah lembut tetapi tetap terasa intensitinya melalui lakonan dalam babak dan muzik latar yang mencengkam jiwa.

Musim kali ini juga memberikan satu pengakhiran yang agak mengejutkan dan mampu membuatkan penonton semakin tidak sabar untuk menunggu musim seterusnya. Cuma diharapkan untuk musim akan datang nanti akan lebih diperjelaskan lagi tentang kuasa yang dimiliki oleh Leanne serta penglibatan kumpulan kultus yang menjadi elemen utama siri ini.

Siri ini boleh ditonton di Apple TV+.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply