Miracle In Cell No. 7 (2022) – Remake Versi Indonesia Yang Lebih Menyayat Hati?

Miracle In Cell No. 7 (2022) – Remake Versi Indonesia Yang Lebih Menyayat Hati?
PENGARAH: Hanung Bramantyo
LAKON LAYAR: Alim Sudio
PELAKON: Vino G. Bastian, Graciella Abigail, Indro Warkop, Tora Sudiro, Rigen Rakelna, Indra Jegel, Bryan Domani, Denny Sumargo, Mawar de Jongh.
GENRE: Drama, Komedi
BAHASA: Bahasa Indonesia

DURASI: 145 minit

Sinopsis:

Merupakan sebuah remake dari filem Korea Selatan dengan judul yang sama, Miracel In Cell No. 7 versi Indonesia ini mengisahkan tentang Dodo Razak, seorang lelaki kurang upaya yang dituduh membunuh dan memperkosa seorang kanak-kanak perempuan. Di dalam penjara, Dodo bertemu dengan Japra, Jaki, Bule, Gepeng dan Bewok yang membantu Dodo untuk bertemu dengan anak perempuannya, Kartika dan ingin membersihkan nama Dodo dari pertuduhan dan mengelakkan dirinya dari bertemu tali gantung.

Sebelum aku memulakan ulasan aku berkenaan filem ini, ingin aku beritahu bahawa aku belum pernah lagi menonton versi asli filem ini yang dihasilkan dari Korea Selatan mahupun mana-mana versi yang lain. Jadi apabila menonton versi Indonesia arahan Hanung Bramantyo ini, jalan ceritanya segar melalui penonton aku.

Melalui filem ini, ianya merupakan sebuah filem yang boleh dikatakan sebagai filem ‘tear bait’ atau filem yang memanggil-manggil untuk penonton berasa sedih dan sekaligus mampu mengundang air mata yang bercucuran. Penggunaan jalan cerita tentang seorang ayah yang kurang upaya dan difitnah sebagai seorang pembunuh dan perogol mengundang lagi perasaan sedih di hati penonton. Semua elemen ‘kesedihan’ yang disampaikan itu lengkap, tetapi tak dinafikan juga ada beberapa babak yang seakan nampak terlalu memaksa penonton berasa sedih. Ianya akan berjaya sekiranya penonton tersebut memang mudah sebak dan sayu hati, tetapi untuk yang pergi menonton kerana mengharapkan jalan cerita yang lebih meyakinkan, mungkin akan berasa sedikit kurang puas hati.

Satu perkara lagi yang aku boleh puji tentang filem ini adalah keseimbangan yang disampaikan melalui perasaan sedih yang juga diwujudkan situasi komedi antara para pelakon banduan didalam sel penjara Dodo. Watak Japra lakonan Indro Warkop diserasikan dengan watak-watak lain seperti Jaki lakonan Tora Sudiro, Bule lakonan Bryan Domani serta duo dinamik yang sangat melucukan iaitu Gepeng (Indra Jegel) dan Bewok (Rigen Rakelna). Aku lebih sukakan sisi komedi filem ini berbanding sisi menyayat hati kerana situasi komedi yang disampaikan seakan sebuah pementasan teater jenaka yang penuh dengan lawak bahasa badan dan kutuk-mengutuk sesama sendiri.

Aku ada sedikit terganggu dengan babak ketika Kartika di dalam mahkamah yang cuba membersihkan nama bapanya dari sebarang pertuduhan. Mungkin sudah terlalu biasa dengan drama mahkamah lain yang kelihatan lebih professional, tetapi babak Kartika ini sekali lagi seolah memaksa-maksa penonton untuk mengalirkan air mata.

Jujur kata aku cuba buang segala persepsi dalam filem ini berkenaan kelogikan setiap babak dan cuba menganggap filem ini memang sebuah karya yang ingin menunjukkan elemen menyayat hati semata-mata dan dalam waktu yang sama ingin menerapkan mesej tentang penindasan terhadap warga OKU. Jadi dengan membuang persepsi terhadap logik yang disampaikan, aku mampu juga mengalir air mata dengan babak-babak yang mendorong kita untuk berasa sedih tadi.

Ianya masih lagi sebuah filem yang bagus kerana mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Namun jika kita ingin menerapkan filem ini ke dalam dunia realiti, ianya sangat jauh dari berkesan dan berfungsi sebagai sebuah fantasi dan kisah nasihat semata-mata. Jika kita berbuat baik dengan orang, orang juga akan berbuat baik dengan kita. Dan dari cuba berbuat baik Dodo dihukum mati, namun kebaikannya itu tetap dibalas melalui anaknya, Kartika.

Filem ini akan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 27 Oktober 2022.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply