Malignant (2021) – Review Filem

Malignant (2021) – Review Filem

Penyakit Jahat

PENGARAH: James Wan
LAKON LAYAR: Akela Cooper
PELAKON: Annabell Wallis, Maddie Hasson, George Young, Jacqueline McKenzie, Michole Briana White
GENRE: Seram, Psiko, Thriller
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)

DURASI: 111 minit

Madison Lake, seorang wanita mengandung hidup bersama suaminya yang kaki dera. Madison sekali lagi didera oleh suaminya selepas dia pulang ke rumah kerana kepenatan dari bekerja. Dia mula bergaduh dengan suaminya sehingga menyebabkan suaminya menghentak kepalanya ke dinding, Madison kemudiannya mengurungkan diri di dalam bilik. Pada keesokan harinya, Madison terkejut apabila terjumpa mayat suaminya yang dibunuh dengan kejam. Madison mendapat bayangan tentang pembunuh yang membunuh suaminya itu dan mendapat tahu pembunuh tersebut masih berada dalam rumahnya. Tetapi malang tak berbau apabila Madison diserang sehingga tidak sedarkan diri dan menyebabkan kandungannya gugur. Sejak dari itu, Madison sering mendapat bayangan tentang pembunuh tersebut yang melakukan lebih banyak pembunuhan. Madison cuba melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis, tetapi polis mula menyangka Madison mempunyai kaitan kuat dengan pembunuhan-pembunuhan tersebut. Semakin lama bayangan Madison terhadap pembunuh tersebut semakin nyata dan menjadi realiti serta akhirnya merungkai tentang misteri hubungan antara Madison dengan pembunuh tersebut.

AMARAN SPOILER!

AMARAN SPOILER!

AMARAN SPOILER!

 

Malignant mengikut kamus membawa dua maksud iaitu sejenis penyakit yang berjangkit dan juga bermaksud sebuah kejadian atau kesan jahat. Dari tajuk filem ini sahaja sudah melihatkan kreativiti dari James Wan, Ingrid Bisu dan Akela Cooper yang bertanggungjawab dalam menyampaikan cerita ini. Penggunaan sejenis penyakit yang disertakan pula dengan kesan-kesan paranormal menjadikan filem ini bukan semata-mata bergenrekan elemen seram sahaja, tetapi telah mewujudkan juga elemen misteri, psiko serta thriller. Dengan alunan kesemua genre ini dan disulami pula dengan gaya pengarahan James Wan yang sememangnya sudah terkenal dengan filem-filem seram seperti The Conjuring dan Insidious telah menjadikan filem ini sebagai sebuah filem yang seronok untuk ditonton dan mempunyai nilai tontonan ulangan yang tinggi. Bayangkanlah menonton sebuah filem seram pun dah ibarat menonton sebuah filem superhero yang mengasyikkan.

Pada permulaan filem ini terdapat elemen ‘monster movie‘ atau ‘psycho killer‘ yang cuba disampaikan, iaitu ketika watak Dr. Florence Weaver dan pekerja-pekerjanya di sebuah institut kajian psikiatrik bergelut untuk menahan seorang pesakit bernama Gabriel dari bertindak ganas dan membunuh pekerja di situ. Babak ini merupakan sejenis ‘cold opening‘ yang mampu menimbulkan perasaan teruja serta tertanya-tanya dari penonton tentang hubungkaitnya dengan watak Madison. Dr. Weaver menyebut Gabriel sebagai seorang lelaki, tetapi gambaran dari skrin pula memberikan klu bahawa pesakit itu merupakan kanak-kanak perempuan. Jadi dari sini mungkin penonton akan mula berspekulasi sama ada apa yang Madison sering bayangkan tentang pembunuh tersebut sama ada khayalan, supernatural atau terdapat penjelasan saintifik yang boleh diterima akal. Persoalan-persoalan yang timbul inilah yang membuatkan penonton semakin melekat dan meresap ke dalam filem untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Untuk bahagian awal memang nampak ianya menjurus kepada sebuah filem seram klasik yang menggabungkan ciri-ciri entiti halus dan pembunuh bersiri. Kecelaruan penglibatan ‘watak jahat’ ini membuatkan penonton semakin keliru, dan ini adalah satu taktik dari penulis lakon layar serta pengarah James Wan untuk memberikan penonton sendiri satu bentuk ilusi. Madison juga mendapat bayangan pembunuh tersebut telah membunuh pekerja-pekerja yang pernah bertugas di institiut psikiatrik tadi, dan akhirnya penonton boleh membuat konklusi bahawa pembunuh tersebut adalah Gabriel.

Lebih mengejutkan lagi apabila pada babak ketiga filem ini ditunjukkan pula bahawa Gabriel adalah kembar yang melekat di belakang badan Madison seperti sejenis tumor yang bertindak ganas dan Gabriel menggunakan tubuh serta minda Madison untuk menjalankan pembunuhan-pembunuhan tadi. Apabila pendedahan ini ditunjukkan, genre supernatural dan seram dari babak awal tadi terus bertukar kepada sebuah filem thriller yang ganas dengan babak-babak mengerikan dan penuh dengan aksi-aksi berdarah. Terdapat satu babak ketika Gabriel melawan polis-polis di dalam balai seakan babak Atlanna melawan askar Atlantis dalam filem Aquaman, yang juga di arahkan oleh James Wan. Jadi bijaknya James Wan disini apabila bukan setakat menggunakan tekniknya dalam menghasilkan filem seram, tetapi juga menerapkan kebolehannya mengarah filem superhero juga.

Satu tema berterusan yang disampaikan dari awal filem hingga ke pengakhiran adalah motivasi dari Madison yang menginginkan pertalian darah kerana dirinya merupakan seorang anak angkat yang diambil oleh sebuah keluarga. Hubungan persaudaraan yang ditunjukkan dalam filem ini mempunyai kontra antara Madison dan Sydney, adik angkatnya, serta antara Madison-Gabriel, kembarnya yang mempunyai pertalian darah. Dari motivasi ini tercetusnya sikap ganas yang ditunjukkan oleh Gabriel yang mengharapkan hubungan simbiosisnya dengan Madison akan terus berkekalan. Jadi apabila Madison mula berasa terancam dengan kekerasan yang ditunjukkan oleh suaminya, maka muncul kembalilah Gabriel yang kononnya ingin mempertahankan Madison.

Sekali lagi ditekankan bahawa filem ini sangat seronok untuk ditonton, sekalipun ianya filem seram, ianya disampaikan dengan cukup santai dan yang menariknya lagi bila James Wan sendiri menggunakan isterinya, Ingrid Bisu untuk menjadi sinar keceriaan melalui wataknya sebagai polis wanita yang lucu. Elemen seram yang disampaikan pada awal filem bertujuan untuk mengelirukan penonton tentang misteri yang melanda berjaya melalaikan dan akhirnya dihidangkan pula dengan konsep psiko thriller serta watak Gabriel yang mempunyai semangat seakan makhluk Cronenberg. Dan tak lupa juga babak aksi di balai polis yang mengubah pula filem ini menjadi filem aksi. Sudah tentu selepas menonton filem ini, kita akan kembali menontonnya dari awal tetapi kali ini dengan perspektif yang berbeza.

Filem ini sedang ditayangkan di pawagam.

 

“It’s time to cut out the cancer.” – Gabriel

 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply