Encanto (2021) – Review Filem

Encanto (2021) – Review Filem
PENGARAH: Jared Bush, Byron Howard
LAKON LAYAR: Charise Castro Smith, Jared Bush
PELAKON: Stephanie Beatriz, María Cecilia Botero, John Leguizamo, Mauro Castillo, Jessica Darrow, Angie Cepeda, Carolina Gaitán.
GENRE: Animasi, Komedi, Fantasi
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)

DURASI: 109 minit

Encanto merupakan animasi 3D keluaran Walt Disney Animation Studios terbaru selepas Raya and the Last Dragon yang ditayangkan pada bulan Mac lalu. Kali ini Disney membawa kita ke dunia kebudayaan negara Colombia dengan menceritakan kisah keluarga magikal, keluarga Madrigal. Kesemua ahli keluarga Madrigal yang tinggal di sebuah rumah magis, hanya digelar sebagai ‘Casita’, masing-masing mempunyai kuasa magik luar biasa. Kecuali Mirabel Madrigal (Stephanie Beatriz) yang tidak dianugerahkan sebarang kuasa magikal. Ini menjadikan Mirabel sebagai seorang yang lain dari ahli keluarga lain. Abuela Alma Midragal (María Cecilia Botero) mula resah apabila kuasa magik keluarga Madrigal semakin lemah. Mirabel terpanggil untuk menyiasat perkara itu dan ingin mengembalikan kekuasaan magik keluarga Madrigal.

AMARAN SPOILER!

AMARAN SPOILER!

AMARAN SPOILER!

Disney memang selalu mengeluarkan filem-filem yang memaparkan dunia magikal dengan watak-watak yang mampu berhubungkait dengan dunia realiti serta memaparkan isu-isu tentang psikologikal dengan menggunakan metafora yang menghiburkan. Begitu juga dalam filem Encanto ini, kali ini memaparkan cerita tentang seseorang yang dianggap sebagai tidak mempunyai bakat, namun masih mampu menjadi seseorang yang penting dalam dunia. Watak ini ditunjukkan pada watak Mirabel, tetapi dipaparkan sebagai seorang yang positif walaupun dipandang remeh oleh ahli keluarga dan orang sekelilingnya. Watak Mirabel yang optimis dan positif ini sangat bagus kerana memberikan satu mesej dan nilai yang berharga kepada penonton, namun konflik di dalam dirinya yang memaparkan sisi penafiannya kerana tidak mempunyai bakat memeriahkan lagi perjalanan cerita.

Bukan setakat pada watak Mirabel sahaja, untuk watak-watak lain juga dipaparkan tentang bagaimana seseorang yang mempunyai bakat juga berperang dengan diri sendiri secara dalaman. Contohnya seperti yang ditunjukkan pada watak Luisa lakonan Jessica Darrow, kakak kepada Mirabel yang mempunyai kuasa kekuatan luar biasa. Luisa diberikan sebuah lagu berjudul ‘Surface Pressure’ yang menceritakan konflik di dalam dirinya yang sering menjadi tempat bergantung orang lain dan sering diberikan tanggungjawab yang besar dalam menjaga keluarga. Ini adalah konflik yang sekali lagi berkait rapat dengan dunia realiti tentang seorang ahli keluarga yang mempunyai bebanan besar, tetapi tidak dapat menunjukkannya.

Berkaitan gaya animasi filem ini pula ianya bukanlah sesuatu perkara yang baharu, kerana kita memang sudah biasa melihat animasi 3D keluaran Disney dan Pixar yang sebegini. Malahan sekarang lebih banyak studio animasi yang mencipta gaya animasi yang lebih kreatif lagi, contohnya seperti yang ditunjukkan dalam siri animasi Arcane. Tetapi apa yang uniknya untuk Encanto ini ada gerak gaya animasi tersebut yang mengagumkan. Dalam filem ini banyak ditunjukkan babak-babak nyanyian beserta tarian ala Colombia. Dan apa yang lebih menakjubkan lagi setiap babak ini dijayakan dengan cukup mengasyikkan dengan gaya tarian karakter-karakter animasi yang sangat ‘smooth’. Bersesuaian pula dengan setiap lagu yang ditunjukkan, di mana lagu-lagu ini semua dicipta oleh Lin-Manuel Miranda, seorang komposer dan artis yang sangat berbakat.

Lin-Manuel Miranda merupakan artis tersibuk di Hollywood ketika ini, dan hampir kesemua kerja-kerja hasil kreativitinya mampu menyentuh hati kesemua yang melihat dan mendengarnya. Keseluruhan Encanto bergerak kerana lagu-lagu dari Lin-Manuel, walaupun jalan cerita yang disampaikan agak ringkas dan berjalan tegak sahaja, namun kerancakan dan kepelbagaian lagu berentak Latin melengkapkan rencah filem berlatarbelakangkan dunia Colombia ini.

Filem ini sedang ditayangkan di pawagam.

Sometimes family weirdos get a bad rap.’ – Mirabel

 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply